Selasa, 16 September 2014

Ditulis pada hari Selasa, 16 September 2014 3 comments
Pada hari ini dalam tahun 1882, mesyuarat Dewan Negeri Perak telah menukar nama Teluk Mak Intan kepada Teluk Anson. Residen Inggeris di Negeri Perak, Hugh Low telah mencadangkan kepada Dewan Negeri supaya nama teluk ini ditukarkan kepada Teluk Anson sebagai mengenangkan jasa General Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak. Terdapat dua cerita bagaimana Teluk di Kuala Sungai Perak ini mendapat nama Teluk Mak Intan. Cerita pertama mengisahkan ada seorang janda kaya, ahli perniagaan dan bangsawan di kampung itu bernama Mak Intan. Oleh kerana kekayaan dan kebijaksanaannya dalam perniagaan maka kampung di teluk itu dipanggil Teluk Mak Intan. 

Cerita yang kedua pula mengisahkan satu peristiwa di mana seorang perempuan yang mandi di teluk itu telah kehilangan seketul intan yang menghiasi sanggulnya. Maka apabila pedagang-pedagang bertanyakan nama teluk itu penduduk disitu akan mengatakan ‘Teluk Intan Hilang’. Singkatnya dipanggil Teluk Mak Intan sahaja. Dalam beberapa catatan lain pula tempat ini diberi nama yang berbeza-beza. Minit mesyuarat Dewan Negeri Perak pada tahun 1882 mencatitkan namanya sebagai Teluk Ma’ Hitam. Residen Hugh Low pula memberi nama ‘Melintang’. Seorang penulis Melayu memanggil tempat ini sebagai ‘Teluk Mak Intan’. Pada tahun 1880, enam tahun selepas campur tangan Inggeris di Negeri Perak, pusat pentadbiran Hilir Perak ialah di Durian Sebatang. Tetapi General Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak mendapati Teluk Mak Intan lebih sesuai. Beliau telah memindahkan pusat pentadbirannya ke situ. Beliau telah menyusun semula kedudukan dan pelan bandar Teluk Mak Intan. Tetapi dengan adanya kesedaran untuk mewujudkan keperibadian sendiri maka pada 1 Januari 1982, setelah satu abad berlalu, Kerajaan Negeri Perak telah menggantikan nama Teluk Anson dengan nama ‘Teluk Intan’.



Categories:

3 comments:

  1. Akak pegi teluk intan ke? Tempat lahir dan membesar saya tu. hehehe

    BalasPadam
  2. sy tak pernah tau ttg sejarahnya macam mana..cuma tau nama telok anson dr ayah. Dia panggil teluk anson. xpanggel teluk intan.. susah nak ubah katanya.

    BalasPadam