Anak angkat tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa angkatnya, bahkan haram berbuat demikian. Ini jelas berdasarkan firman Allah:
أدعوهم لأبآئهم هو أقسط عند الله فإن لم تعلموا ءابآءهم فإخونكم فى الدين وموليكم.وليس عليكم جناح فيما أخطأتم به ولكن ما تعمدت قلوبكم.وكان الله غفورا رحيما.
Tafsirnya: "Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disenghajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "(Surah Al-Ahzah: 5)
Adapun sebab turun ayat ini ialah mengenai Zaid bin Haritsah. Perkataan Ibnu 'Umar: "Kami pada masa dahulu tidaklah memanggil Zaid bin Haritsah melainkan Zaid bin Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam", menunjukkan bahawa mengangkat anak telah berlaku pada masa jahiliah dan semasa Islam.
Dengan mengangkat anak itu berlakulah waris mewarisi (di antara bapa angkat dan anak angkat) sehingga Allah memansukhkan hukum pengangkatan anak yang membawa kepada waris mewarisi itu, firman Allah:
أدعوهم لأبآئهم هو أقسط عند الله
Tafsirnya: "Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (Surah Al-Ahzab: 5)
Dengan ayat ini Allah memerintahkan supaya dipanggil anak angkat itu dengan bapanya yang sebenar, yang diketahui. Jika anak angkat itu tidak mempunyai bapa yang diketahui, maka hendaklah dinasabkan kepada bekas tuannya Jika dia bekas seorang hamba yang telah dimerdekakan).
Ayat di atas menunjukkan adalah haram bagi seseorang dengan sengaja memanggil seseorang bukan dengan bapanya yang sebenar, sebagaimana ia dilakukan pada masa jahiliah.Adapun jika panggilan itu bukan dalam bentuk zaman jahiliyah seperti seorang tua memanggil seorang kanak -kanak dengan rasa kasih sayang seperti "wahai anakku," maka secara zabir ayat di atas tidaklah haram.
Seumpama panggilan kanak-kanak bukan kepada bapa yang sebenarnya ialah dengan menasabkan seseorang itu bukan kepada bapanya padahal dia mengetahui orang yang dinasabkannya itu bukan bapanya.
Panggilan sedemikian ini bagi kebanyakan para ulama mengumpulkannya sebagai dosa besar .Pengangkatan anak di zaman jahiliyah menjadikan anak yang diangkat itu boleh waris mewarisi.Membinkan atau membintikan anak angkat kepada bapa angkat mendapat ancaman keras darlpada Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam dengan sabdanya:
من أدعى إلى غير أبيه وهو يعلم أنه غير أبيه فالجنة عليه حرام.
Maksudnya: Barangsiapa mengaku bernasabkan seseorang sebagai bapa kepada orang yang bukan bapanya, padahal dia. mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga diharamkan ke atasnya. "(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Adapun jika seorang memanggil seseorang dengan nama lain daripada nama bapanya, akan tetapi dia menyangka bahawa nama itu nama bapanya, maka hal yang demikian itu tidaklah mengapa, berlainan apabila seseorang dengan senghaja dan bertujuan memanggilnya dengan bukan nama bapanya. Panggilan semacam ini adalah salah dan berdosa.
0 comments:
Catat Ulasan