Isnin, 2 November 2015

Ditulis pada hari Isnin, 2 November 2015 No comments
SOALAN

Apakah hukum menghisap rokok elektronik dan vapor?



Pada hari ini, 17 Ogos 2015 bersamaan 2 Zulkaedah 1436H, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan mengharamkan penggunaan rokok elektronik melalui fatwanya. Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, keputusan itu diputuskan dengan mengguna pakai hukum menghisap shisha yang telah difatwakan sebelum ini.

Tambah beliau lagi, apabila telah cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua ianya membazir dan ketiga memudaratkan daripada segi kesihatan, maka apabila perakuan-perakuan ini sama, maka kita mengatakannya haram.

Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas.

Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok agar berhenti daripada merokok. Justeru itu, mereka menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia

Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

18 Ogos 2015 bersamaan 3 Zulkaedah 1436H

Dihantar oleh:  Admin1

Langganilah https://telegram.me/UlamaBot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
Categories:

0 comments:

Catat Ulasan