Isnin, 29 Disember 2014

Ditulis pada hari Isnin, 29 Disember 2014 1 comment

Soalan : Mohon pandangan SS Mufti tentang hukum memberikan zakat kepada mangsa banjir?

Jawapan : Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami setiap mangsa kebiasaannya dalam keadaan amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau hartabendanya ranap sebahagian kecil, sebahagiannya atau musnah keseluruhannya.

Berkenaan dengan isu di atas, sebahagian ulama’ menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan hartabenda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang samada untuk diri mereka atau keluarga mereka.

Justeru, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama’ mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan untuk kemewahan atau berfoya-foya.

Oleh kerana itulah kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-gharimin yang berhak menerima zakat.

Selain daripada nas di atas, jika dilihat kepada tafsiran ulama’ antaranya Mujahid yang berkata :
“ 3 golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu :

· Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.

· Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya

· Mereka yang mempunyai tanggungan dan tiada baginya harta untuk di infakkan kepada tanggungannya.

Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit dalam bencana seperti banjir dan lain-lain.

Wallahua’lam

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
I
Mufti Wilayah Persekutuan
DITULIS OLEH ADMIN PMWP PADA 29 DISEMBER 2014. DITERBITKAN DI DALAM IRSYAD FATWA .

Categories:

1 comments: