Selasa, 4 Mac 2014

Ditulis pada hari Selasa, 4 Mac 2014 2 comments

Bagaimanakah jerebu boleh menjejaskan kesihatan bayi saya?

Bagi bayi yang secara amnya sihat, kesan jerebu biasanya sedikit sahaja dan boleh dirawat dengan mudah.
Jerebu mungkin akan menyebabkan hidung, tekak, salur pernafasan, kulit dan mata bayi tidak selesa.

Sesetengah bayi mungkin mendapat ruam kulit.Bayi anda juga mungkin akan mengalami bersin-bersin, hidung berair, gatal mata dan tekak kering serta batuk.

Jika bayi anda mempunyai sejarah masalah pernafasan, sinusitis dan masalah alergi kulit, kesihatannya mungkin lebih terancam semasa musim jerebu. Contohnya, sekiranya bayi anda mempunyai asma, simptomnya mungkin lebih teruk.

Dalam kesemua kes, jika kualiti udara mencecah tahap kritikal, partikel-partikel halus dalam jerebu juga boleh masuk ke dalam paru-paru bayi.

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Apakah yang boleh saya lakukan untuk membantu bayi saya semasa jerebu?

Berikut adalah beberapa panduan yang anda boleh ikuti untuk merawat masalah kesihatan yang disebabkan atau yang menjadi lebih teruk akibat jerebu.

Mata gatal

Titiskan beberapa titik larutan bergaram (diperolehi dengan mudah di kebanyakan farmasi) untuk membantu melegakan kegatalan. Sesetengah ibu percaya bahawa beberapa titik susu ibu juga berkesan.

Bersin-bersin, hidung berair, tekak kering dan batuk kering

Kanak-kanak di bawah usia satu tahun tidak seharusnya diberi ubat selesema atau ubat batuk.

Periksalah dengan doktor keluarga atau pakar kanak-kanak untuk mengetahui apa yang sesuai bagi bayi anda, bergantung kepada umur dan beratnya.

Pastikan bayi anda memperolehi banyak rehat dan cecair termasuk susu ibu atau susu formula, air, sup dan jus.

Tambahkan jumlah pengambilan vitamin C melalui jus buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Jika anda menyusu badan, tingkatkan pengambilan jenis makanan ini supaya bayi anda turut mendapat faedahnya.

Sekiranya dia mengalami demam, beri dia cecair paracetamol di bawah arahan doktor.

Sesak nafas atau asma

Asma yang berlaku pada kebanyakan kanak-kanak adalah reaksi terhadap sesuatu pencetus, dan jerebu biasanya dikenalpasti sebagai pencetusnya. Jerebu boleh membuatkan asma seseorang itu lebih teruk, oleh itu jika bayi anda berdehit atau sesak nafas, jumpa doktor dengan segera.

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Apakah yang boleh saya lakukan untuk melindungi bayi saya daripada jerebu?

Jangan keluar rumah

Perkara terbaik yang anda boleh lakukan untuk melindungi bayi anda ialah dengan duduk sahaja di rumah. Tutup semua pintu dan tingkat. Banyak keluarga di Malaysia yang membeli pembersih atau penulen udara untuk memperbaiki kualiti udara dalam rumah. Sesetengah yang lain pula menggunakan pelembap udara untuk menjatuhkan partikel udara yang berjerebu. Tambahan pula, kelembapan tambahan juga dapat membantu mengurangkan gangguan pada sistem pernafasan.

Kami juga mempunyai beberapa permainan menarik untuk anda bermain dengan bayi atau anak kecil anda di dalam rumah.

Penyusuan badan

Penyusuan badan adalah salah satu cara yang terbaik untuk melindungi kesihatan bayi anda. Selagi dia menyusu badan dia akan memperolehi antibodi dan keimunan semula jadi daripada anda. Bayi yang menyusu badan selalunya menunjukkan simptom yang lebih ringan apabila diserang penyakit biasa seperti selesema dan flu.

Anda masih boleh menyusukan walaupun anda rasa tidak sihat atau demam.

Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok

Pastikan anda dan bayi anda menjauhkan diri daripada perokok. Sekiranya anda atau suami anda adalah perokok, inilah masa yang paling baik untuk berhenti merokok. Baca lebih lanjut tentang tip-tip berhenti merokok.

Amalkan penjagaan kebersihan

Pastikan semua orang membasuh tangan dan muka mereka sebaik saja mereka memasuki rumah. Bagi bayi pula, tukar pakaiannya atau mandikan dia selepas masuk ke rumah

Categories:

2 comments: