Jumaat, 7 Mac 2014

Ditulis pada hari Jumaat, 7 Mac 2014 No comments


Lima belas abad yang lalu Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan kita bahawa akan datang suatu masa dimana badai fitnah akan menyelimuti dunia sehingga mengancam iman umat Islam.

Semenjak dahulu Al-Quran telah memperingatkan kita akan fitnah yang ditimbulkan oleh musuh-Nya dan musuh orang-orang beriman, iaitu syaitan. Bahkan Allah mengkaitkannya dengan peristiwa fitnah pertama yang menimpa nenek moyang manusia, yakni Nabiyullah Adam A.S.

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat di-fitnah (ditipu) oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga.” (Surah Al-A’raf 27)

Syaitan merupakan musuh yang nyata yang sepatutnya senantiasa diperlakukan sebagai musuh. Dihadapi dengan penuh waspada, tanpa sebarang kerjasama dan menggunakan “senjata” yang mencukupi. Bukan sebaliknya, dihadapi dengan keadaan sambil lewa, tanpa persenjataan yang mencukupi.

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Fathir 6)

Dan perlu diingat bahawa musuh kita ini terdiri dari dua golongan makhluk, iaitu manusia dan jin. Inilah yang membuat pertarungan orang beriman menghadapi mereka menjadi sangat berat. Sebab kita hanya mampu mengesan salah satu di antara keduanya sedangkan yang satu lagi sungguh sukar, kecuali jika Allah izinkan.

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin.” (Surah Al-An’aam 112)

Peringatan Nabi.....
Lima belas abad yang lalu Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan kita bahawa akan datang suatu masa dimana badai fitnah akan menyelimuti dunia sehingga mengancam iman umat Islam. Dan badai fitnah itu menjadikan dunia sedemikian gelapnya sehingga seorang muslim rela menjual agamanya yang mahal demi memperoleh kesenangan dunia yang murah. Sungguh suatu sikap yang hina dan berbahaya.

Nabi SAW. bersabda: “Bersegeralah beramal sebelum datangnya fitnah seperti sepenggalan malam yang gelap gulita, seorang laki-laki diwaktu pagi masih mukmin dan diwaktu petang telah menjadi kafir, dan diwaktu petang masih beriman dan paginya menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia” (Riwayat Ahmad - 8493)

Sedarkah kita bahawa salah satu perkara penting yang sering diabaikan oleh umat Islam ketika ini ialah betapa terancamnya keadaan iman kita?

Sedarkah kita bahawa aneka serangan alghazwu al-fikri (perang pemikiran atau the battle of hearts and minds) secara sistematik berlangsung setiap hari merosakkan kesempurnaan iman pada diri, anak dan isteri kita?

Kian hari kian terasa betapa zaman yang sedang kita jalani dewasa ini merupakan bahagian zaman yang penuh dengan fitnah. Inilah zaman yang telah di-nubuwwah-kan oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. dalam hadis baginda yang berbunyi:

Bersabda Rasulullah SAW.“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan hidangannya.” Maka seseorang bertanya: ”Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?” ”Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih dipermukaan air. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian.” (Riwayat Abu Dawud)

Penyakit Al-Wahan atau ”Cinta dunia dan takut akan kematian” cukup hebat menguasai umat Islam dewasa ini.

Penyakit ini muncul dikeranakan hebatnya pengaruh musuh Islam. Mereka memang sangat canggih dalam menguasai berbagai bidang kehidupan berkaitan urusan kehidupan dunia. Namun soal kehidupan sejati di akhirat kelak, mereka sangatlah lalai dan tidak peduli bahkan tidak mempercayainya. Dunia secara global dewasa ini sedang dikendalikan seumpama bangsa Ruum (Rom) atau Barat. Dan Allah menggambarkan peradaban Ruum di dalam surah Ar-Ruum sebagai berikut:

“Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.” (Surah Ar-Ruum ayat 7)

Para pemimpin Ruum Moden ini dengan gencar, sistematik dan penuh kesungguhan berusaha keras menyebarkan faham materialisme dan sekularisme yang menjadi falsafah hidup mereka kepada segenap penduduk bumi. Tanpa kecuali umat Islam di dalamnya.

Dengan segenap kemudahan dan prasarana yang dimiliki mereka berusaha menjadikan setiap orang yakin bahawa hanya dengan menimbun materilah kebahagiaan bakal diperoleh.

Hanya dengan memisahkan urusan dunia dari nilai-nilai agama atau keimananlah manusia akan mencapai kebebasan sejati.

Ertinya, mereka berusaha menularkan nilai-nilai kekufuran yang ada dalam diri mereka kepada siapa saja, termasuk kita yang asalnya beriman. Sehingga tidak sedikit umat Islam di berbagai belahan dunia mulai mengikut pandangan hidup pemimpin Ruum moden dewasa ini. Hal ini sebagaimana diramalkan oleh Nabi Muhammad SAW:

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti tradisi atau kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Riwayat Muslim - 4822).

Fitnah Politik
Di dalam bahasa Arab fitnah juga dikenali dengan perkataan buthan, iaitu menghebahkan berita yang tidak benar mengenai sesuatu. Kesan fitnah sering kali membawa kepada kucar-kacir, pertelingkahan, permusuhan dan malah juga ada ketika membawa pertumpahan darah.

Dalam al-Quraan Allah SWT mengingatkan dalam firmanNya yang bermaksud:

“(Ingatlah) diwaktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah benar.” (Surah An-Nur ayat 15).

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:
“Celakalah bagi orang yang bercerita kepada kaum tentang kisah bohong dengan maksud agar mereka tertawa. Celakalah dia... celakalah dia.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Mengulas perlunya umat Islam berhati-hati dengan fitnah, Dr Maslee Malik, pensyarah di Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Antarabangsa (UIAM) mengingatkan walaupun fitnah sikap semula jadi manusia, namun Islam sebagai agama fitrah yang telah diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW berusaha mengawal dan mengekang perbuatan fitnah serta mengawal impaknya kepada masyarakat.

“Maka sistem akhlak dan juga beberapa sistem hukum Islam merupakan bahagian dari usaha Islam mengawal perbuatan memfitnah,” ujar beliau ketika ditemui di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, selepas mempengurusikan program wacana Fitnah Ancaman Umat Akhir Zaman.

Menurut Maszlee, dalam banyak ayat dalam al-Quran dan Hadis, fitnah dikategorikan sebagai dosa besar, sikap orang zalim, sikap orang munafik dan musuh Islam. Ini kerana fitnah juga menjadi senjata golongan musyrik Makkah semasa menantang dakwah Rasulullah. Malah fitnah juga faktor kepada penghalang hidayah Islam dan kebaikan yang universal.

Tegas Maszlee lagi, di dalam agama-agama lain perbuatan fitnah juga diharamkan. Malah di dalam kerangka moral pemikiran sekular pasca kebangkitan Eropah, isu fitnah dilihat sebagai perbuatan yang menyalahi moral. Seiring dengan itu pelbagai undang-undang dilahirkan demi mengawal perbuatan fitnah dan juga mengurangkan implikasinya kepada masyarakat.

“Malangnya fitnah juga bukanlah sesuatu yang asing dalam budaya politik islam dan Melayu. Seawal zaman Khalifah Sayidina Uthman, fitnah menjadi punca keretakan dalam pemerintahan Islam,” jelas Maszlee.

Maszlee yang juga merupakan mantan Presiden Durham University Islamic Society 2009-2010, juga mengungkapkan bahawa dalam sejarah politik Melayu, fitnah menjadi senjata ampuh para pelaku politik untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain. Sistem feudal yang jauh daripada roh dan keadilan, juga telah menjadi penyebab bagaimana fitnah telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa.

“Kisah Hang Tuah yang difitnah sehingga membawa kepada arahan bunuh ke atas diri beliau, dan menyebabkan kacau bilau disebabkan Hang Jebat adalah di antara contoh yang paling jelas,” ujar Maszlee.

Malah menurut Maszlee terdapat pelbagai kisah lagi seperti kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang, kisah Mahsuri, Kisah Hang Nadim dan lain-lain kisah yang serupa di dalam sejarah Melayu telah menjadi bukti bahawa fitnah menjadi sebahagian bentuk rentak politik Melayu.

“Budaya politik fitnah ini nampaknya tidak mengenal kaum dan juga kumpulan. Sampai masanya budaya fitnah yang boleh menghancurkan tamadun bangsa ini dibersihkan dengan kembali kepada kefahaman agama dan petunjuk yang telah diajarkan oleh Rasulullah dalam bermuamalah,” tegas Dr Maszlee Malik.

Sumber info :
majalah-i.karangkraf.com/mimbar-utama/badai-fitnah-menerpa-umat-akhir-zaman-1.96085

Categories:

0 comments:

Catat Ulasan