Rabu, 5 Februari 2014

Ditulis pada hari Rabu, 5 Februari 2014 4 comments
Soalan:
Ustazah, apakah benar seseorang yang datang haid atau berhadas besar (berjunub) tidak boleh potong kuku atau gunting rambut?
Saya mendengar seorang ahli agama berkata, jika berbuat juga anggota itu akan datang di akhirat kelak dlm keadaan kotor jika tidak dimandikan kemudiannya. Apakah terdapat dalil-dalil yang demikian itu?



Jawapan:
Dalam buku ‘al-Fiqh 'Ala al-Mazahib al-Arba'ah (Fekah menurut Keempat Mazhab) mengemukakan: “Yang haram bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk seperti solat sunat dan wajib.” 

Justeru, kita mengetahui tidak disyaratkan adanya wuduk untuk memotong rambut atau kuku. Dengan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa tidak ada larangan (dalam erti kata haram) untuk membuang rambut yang gugur dan memotong kuku seperti mana yang saudari tanyakan. 

Mungkin orang yang melarang itu menduga bahawa badan manusia menjadi najis ketika ia dalam keadaan junub. Dugaan ini agak mengelirukan. Nabi SAW tidak mewajibkan orang yang berjunub, termasuk yang datang bulan untuk segera mandi. 

Ia diwajibkan mandi, ketika hendak solat atau membaca al-Quran. 

Bahkan ada sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berdiri untuk solat berjemaah, tiba-tiba Baginda teringat bahawa Baginda belum mandi dan segera pergi mandi kemudian melaksanakan solat. Demikianlah yang diriwayatkan oleh keenam perawi hadis yang utama (kecuali Imam al-Tirmizi) melalui sahabat Nabi, Abu Hurairah. 

Boleh jadi juga, pandangan itu diambil daripada kefahaman hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud melalui Ali bin Abi Talib yang menyatakan, “Sesiapa yang mengabaikan satu bahagian dari tempat tumbuhnya rambut ketika mandi junub sehingga tidak terkena air, maka Allah akan memperlakukan begini dan begini di neraka.” 

Riwayat ini di samping memiliki kelemahan dalam sanadnya, juga tidak menyebut mengenai rambut yang dipotong. 

Sekiranya hukum memotong kuku atau menggunting rambut tidak haram, adakah larangan tersebut bermaksud makruh?
Terdapat ulamak memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. 

Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali). Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin; “Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub. Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” (Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).

Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w.:

“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)

Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. 

Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Sohih al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).

Menurut mereka, tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. 

Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. 

Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

Dalam buku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, az-Zuhaili menulis, “Tidak makruh dalam pandangan mazhab Hambali bagi seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi.” 

Dalam hal mandi wajib, mazhab Abu Hanifah meletak garis panduan bahawa wajib membasahi seluruh anggota badan yang dapat disentuh oleh air selama hal itu tidak menyulitkan. Dalam konteks kemudahan itu, ulama membincangkan wajib tidaknya rambut yang digulung atau diikat sebahagian atas sebahagian yang lain, untuk diurai terlebih dulu baru mandi. 

Abu Hanifah tidak mewajibkannya, cukup membasahi. Imam Malik juga tidak mewajibkan mengurai rambut yang bersanggul selama ikatannya tidak terlalu ketat sehingga air dapat mengalir ke dalam. Alasan mereka adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Ummu Salamah bertanya kepada Nabi SAW, “Aku adalah seorang wanita yang mengikat rambutku, apakah aku harus mengurainya dalam rangka mandi junub?” Nabi menjawab, “Tidak! Cukup engkau menuangkan air ke atas kepalamu sebanyak tiga kali.” 

Imam Syafie, walaupun mengharuskan menguraikan sanggul apabila air tidak mengena rambut, namun beliau berpendapat bahawa agama memaafkan bahagian dalam dari rambut yang terikat untuk tidak terkena air.

Jika diteliti dalil-dalil dan pendapat di atas ternyata Rasulullah SAW tidak memberatkan para wanita yang berambut panjang untuk mengurai seluruh rambutnya bagi menjirus air ketika mandi junub untuk mengelakkan dari kesukaran. Apalagi jika berkaitan memandikan rambut yang telah gugur itu lebih menyukarkan. 

Sedangkan prinsip syariah ialah meringankan tanpa membebankan penganutnya.

Di sini juga saya bawakan jawapan Imam Ibn Taymiah bila ditanya tentang hal ini di dalam kitabnya ' al-albab, 1/382).Beliau berkata: "Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati", malah Nabi memberitahu: "Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam)."


Sumber info :
schods.blogspot.com/2014/02/hadis-palsularangan-potong-kuku-dan.html?m=1
Categories: , ,

4 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian yg bermanfaat ini

    BalasPadam
  2. Perkongsian yg jelas..bole potong2 tanpa rasa bersalah lagi..tq SU

    BalasPadam