Jumaat, 28 Mac 2014

Ditulis pada hari Jumaat, 28 Mac 2014 No comments

Minat Melukis Bantu Zi Quan Muncul Juara Seni Jawi Nusantara


KUALA LUMPUR 20 Mac - Peserta bukan Melayu, Kim Zi Quan, menjuarai Pertandingan Seni Jawi Nusantara yang disertai kira-kira 19,000 peserta dari seluruh negara.

Zi Quan, 16, dipilih sebagai juara kategori A iaitu bagi peserta berumur 13 hingga 15 tahun dan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan plak.

Pertandingan Seni Jawi Nusantara yang antara lain menguji kreativiti peserta menghasilkan tulisan khat jawi bertujuan memartabat dan memperkasakan seni tulisan warisan negara itu.

Pertandingan anjuran Utusan Melayu (M) Berhad dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) itu membuka dimensi baharu supaya seni tulisan jawi terus dibela sekali gus memartabatkan nilainya.

Ketika ditemui selepas upacara penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Kelana Jaya, dekat sini hari ini, Zi Quan berkata, minat yang mendalam terhadap lukisan mendorongnya mencuba sesuatu kelainan.

"Tulisan jawi ini sangat unik. Jadi, saya berlatih menulis dan mempraktikkannya setiap hari supaya tulisan jawi nampak kemas. Mungkin satu hari nanti saya mahu belajar cara bacaannya pula," katanya.

Seorang lagi peserta bukan Melayu, O. Mirunalini, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad, Lenggong, Perak, memenangi tempat ketiga kategori A. Tempat kedua kategori tersebut dimenangi oleh Aida Aqilah Abd. Latib.

Bagi kategori B (16-17 tahun) tempat pertama dimenangi oleh Mohd. Hazimi Afif Fairuz, tempat kedua, Wong Man Yee dan ketiga, Sharifah Noradnin Syed Abdul Aziz.

Sembilan peserta menerima Anugerah Khas Peserta Bukan Melayu yang baharu diwujudkan. Mereka ialah Liang Siew Phing, Wong How Yean, T. Girrthana, J. Jaga Sahsiny, S. Jegaathiswari, S. Nalisha Nair, R. Sujeethra, K. Vinasar Rao dan M. Devendran Chand.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140321/dn_15/Minat-melukis-bantu-Zi-Quan-muncul-juara-Seni-Jawi-Nusantara
Categories: ,

0 comments:

Catat Ulasan