Sabtu, 22 Mac 2014

Ditulis pada hari Sabtu, 22 Mac 2014 No comments

Semasa saya berada dalam trimester pertama dan kedua kehamilan kadar hb saya stabil 13.4 - 11. Namun bila masuk ke trimester ketiga kadar hb(haemoglobin) darah saya menurun sehingga 10.1. Pelbagai nasihat dari doktor tentang tabiat pemakanan untuk meningkatkan hb dalam darah. Dan dalam tempoh 2 minggu lagi hb darah saya akan diperiksa semula.

Berikut saya kongsikan beberapa persoalan tentang perkara tersebut:

1) Berapakah jumlah zat besi yang saya perlukan semasa hamil?

Sebelum hamil, anda memerlukan kira-kira 15 miligram (mg) zat besi sehari. Jumlah ini agak banyak. Kebanyakan daripada kita mungkin tidak dapat memenuhi keperluan yang disarankan ini.

Semasa hamil, anda perlukan lebih zat besi untuk membantu mengekalkan kesihatan anda dan bayi. Jika anda tidak mendapat zat besi yang mencukupi untuk menjana penghasilan hemoglobin bagi anda berdua, anda mungkin akan mengalami anaemia akibat kekurangan zat besi. Ini merupakan jenis anaemia yang paling biasa berlaku dalam kehamilan. Kira-kira satu dalam lima wanita mengalaminya semasa hamil.

2) Apakah yang boleh saya lakukan untuk memastikan saya mendapat zat besi yang mencukupi?

Seorang wanita hamil memerlukan 30mg zat besi setiap hari. Seperti mana kebanyakan vitamin dan mineral lain, makanan ialah sumber terbaik bagi zat besi.

Anda sepatutnya tidak perlu mengambil suplemen jika anda makan banyak sumber makanan yang kaya dengan zat besi. Ini bermakna anda perlu makan banyak sayur-sayuran berdaun hijau tua, roti bijian penuh, bijirin yang diperkaya dengan zat besi, kentang, daging merah tanpa lemak, kerang-kerangan, kismis, prun dan kekacang.

Vitamin C membantu badan anda menyerap zat besi dalam pemakanan. Cuba minum banyak jus oren atau makan buah-buahan atau sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin C semasa memakan makanan yang kaya dengan zat besi untuk membantu mengelak daripada mendapat anaemia.

Teh dan kopi membuatkan sukar bagi badan anda menyerap zat besi. Oleh itu, lebih baik jika anda elakkan meminumnya semasa waktu makan.

3) Bagaimana saya boleh tahu sekiranya saya menghidap anaemia?

Anaemia dapat dipastikan jika tahap hemoglobin anda kurang daripada 11.0 gm/dl. Ujian darah yang anda perlu jalani di klinik antenatal dapat menguji samada hemoglobin anda berada pada tahap yang memuaskan ataupun tidak. Agak normal juga bagi tahap hemoglobin untuk turun sedikit semasa hamil kerana terdapat lebih banyak cecair dalam darah anda yang mencairkan sel-sel darah merah.Doktor hanya akan mempreskripsikan pil zat besi jika tahap zat besi anda turun ke tahap sangat rendah.

4) Adakah sesetengah wanita lebih berkemungkinan mengalami anaemia semasa hamil?

Wanita yang mengamalkan diet yang rendah zat besi lebih berkemungkinan mengalami anaemia. Anda juga lebih berkemungkinan menghidap anaemia akibat kekurangan zat besi semasa hamil jika bekalan zat besi dalam badan anda telah sedia berkurangan, mungkin kerana jarak antara kehamilan terdahulu dan kehamilan kini sangat rapat, atau darah haid anda keluar sangat banyak sebelum anda hamil.

Jika anda mengandungkan anak kembar, maka keperluan bagi setiap bayi juga boleh meningkatkan risiko anda mengalami anaemia.

5) Apakah simptom-simptom anaemia?

Keletihan dan sesak nafas adalah tanda-tanda biasa bagi anaemia. Namun anda mungkin tidak sedar bahawa anda menghidap anaemia kerana simptom-simptom ini juga dialami oleh ramai lagi wanita hamil yang tidak mengalami anaemia.

Sakit kepala, tinnitus (telinga berdengung) dan jantung berdebar adalah simptom-simptom lain anaemia, selain mempunyai tabiat mengidam makanan yang tidak biasa. Kelopak mata, dasar kuku dan lidah juga mungkin kelihatan pucat.

6) Bagaimanakah anaemia dirawat?

Doktor anda akan berbincang dengan anda tentang pemakanan untuk memastikan anda makan cukup makanan yang betul, dan beliau juga mungkin mempreskripsikan pil zat besi.

Keburukan pil zat besi ialah walaupun ia boleh memperbaiki tahap zat besi dalam badan, ia juga mempunyai kesan sampingan yang kurang menyenangkan. Pil zat besi boleh menyebabkan sembelit dan masalah perut yang lain seperti loya, cirit-birit dan sakit perut.

Meningkatkan pengambilan serat dalam diet semasa mengambil pil zat besi boleh membantu mengelakkan sembelit. Mengambil pil tersebut semasa waktu makan pula boleh membantu mengurangkan kesan sampingan yang lain.

Jika anda rasa kesan sampingan tersebut menjada masalah serius kepada anda, mintalah doktor anda mempreskripsikan jenama yang lain atau mengurangkan dos yang perlu anda ambil kerana dos yang rendah mungkin lebih baik daripada tidak mengambilnya langsung.

7) Adakah anaemia yang saya alami ini menjejaskan kesihatan bayi saya?

Melainkan anda menghidap anaemia yang serius, anda tidak perlu bimbang mengenai bayi anda. Badan anda akan memastikan bahawa bayi mendapat jumlah zat besi yang diperlukannya sebelum anda mendapatnya. Oleh itu, anda akan kekurangan zat besi dahulu sebelum bayi anda. Bayi anda menggunakan bekalan zat besi paling banyak dalam trimester kedua dan ketiga kehamilan, oleh itu, masa inilah anda perlu lebih menjaga diri sendiri.

Sumber info : www.babycenter.com.my

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Katakan tidak pada minuman berkafen seperti kopi, teh, nescafe dan sebagainya.

Saya sedang berusaha menjaga pemakanan saya untuk meningkatkan.zat besi yang membantu membina hemoglobin dalam darah. Untuk menu hari ini :

Categories:

0 comments:

Catat Ulasan