Khamis, 8 Januari 2015

Sukarelawan Kerajaaan Umat Zaman Baru

SUKARELAWAN ... KERAJAAN UMAT ZAMAN BARU

Ingin sekali daku mencium tangan para sukarelawan ...
Yang menolong menyelesaikan kesulitan
Yang membantu orang dalam kesusahan
Tanpa menagih apa apa bayaran
Tanpa mengharap sebarang penghargaan
Yang ikhlas kerana Allah, satu satunya Tuhan

Kerna tangan sukarelawan seperti itu
Lebih mulia dari kuliahan tuanguru zaman baru
Yang presentasinya memukau ratusan ribu
Intonasi pidatonya mengalah juara lagu
Tapi... masam hatinya kerna sikitnya wang saku...
Tidak setara dengan honor artis paling laku.
Akibat kerja agama sudah jadi  profesi baru
Bukan amal sukarela seperti dulu dulu

Kerna sukarelawan yang seperti itu
Lebih aula dari pidatoan pemimpin politik pentasan
Yang retorikanya amat mengagumkan
Yang sumpah perjuangan amat menggerunkan
Tapi... akan berantakan merebut kedudukan
Akan berhabisan disebalik ikhlas menawar jawatan
Akibat kepemimpinan politik sudah jadi profesi lumayan
Di sebalik pentomen amanah kebertanggungjawaban

Sukarelawan bagiku adalah satu kerajaan
Kerajaan yang tiada helah politik dan tiada cari makan
Tiada matlamat kejar undi, tiada berebut jawatan
Tiada kutip cukai,  tidak tunggu peruntukan
Bekerja untuk kebaikan rakyat tanpa tagih sokongan
Cukup dengan derma dan sumbangan simpatisan
Boleh saja tolong rakyat malah tolong kerajaan
Malah lebih tangkas dari tangan dan kaki kerajaan

Sukarelawan adalah sebuah kerajaan
Kerajaan kecil-kecilan
Dikuasakan tanpa proses pemilihan
Difungsikan dengan jalinan kasih sayang
Digerakkan dengan semangat menyumbang
Di wilayah rakyat hilang nur kepemimpinan

Sukarelawan yang tidak ambil kesempatan
Sukarelawan yang bukan musiman
Sukarelawan yang tampil tanpa kerahan
Sukarelawan yang tiada jemu, tiada rungutan
Sukarelawan yang hatinya terpenuhi cahaya ar Rahman
Sukarelawan yang berkhidmat "lil-Tuhan" ...
.... bukan  "lil-ganjaran" atau "lil-insan"
Sukarelawan yang darinya terbit kemanfaatan
Sukarelawan Muslim Beriman dan IKHSAN...
.. adalah insan-insan mulia yang dicintaiTuhan

Kerna Rasul telah berpesan ...

"Orang yang paling dicintai Allah
adalah orang yang paling BERMANFAAT buat insan
dan amal yang paling dicintai Allah
adalah kebahagiaan yang engkau masukkan
kedalam diri seorang muslim
atau engkau menghilangkan suatu kesulitan
atau engkau melunasi hutang seseorang
atau menghilangkan kelaparan.
Dan sesungguhnya berjalannya Aku
bersama seorang saudaraku
untuk menunaikan suatu keperluannya
lebih aku sukai daripada aku beritikaf
di masjid ku ini selama satu bulan..."
(HR : Thabroni)

Zuldaud
8 januari 2015

1 comments: