Rabu, 22 Januari 2014

Kebas Tangan Ketika Hamil

Semasa mengandungkan anak pertama saya tidak pernah merasainya. Malah apa-apa sakit yang lain pun tidak. Syukur alhamdulillah....

Namun ketika ini saya sedang mengandungkan anak kedua...tidur sering terganggu kerana saya mengalami sindrom terowong karpus (carpal tunnel syndrome) Rasa kebas pada jari, mencucuk2, kadangkala membengkak dan rasa panas dan terbakar.

 Pada awalnya hanya tangan di sebelah kiri saja dan bila kandungan melewati 5 bulan tangan kanan juga mula terasa sindrom ini.

Beberapa orang doktor yang saya temui semua memberikan jawapan yang sama..."itu perkara biasa bagi ibu hamil..." saya juga banyak membaca dari Pakcik Google. ..yang penting tidak menjejaskan kandungan.

 Syukur hanya itu dugaan kecil saya...saya tahu ada wanita lain yang menghadapi lebih banyak dugaan ketika hamil...positif dengan ujian ini, mungkin salah satu cara Allah ingin mengampunkan dosa.


-----------------------------------------------------------------
Mengapakah tangan saya sering rasa sakit dan kebas?

Sakit dan kebas pada bahagian tangan dan jari semasa hamil kemungkinan besar disebabkan oleh sindrom terowong karpus (carpal tunnel syndrome). Ia merupakan satu keadaan yang dikaitkan dengan kebengkakan dan peningkatan berat semasa hamil, di mana saraf utama di pergelangan tangan menjadi tertekan.
Syukurlah tidak semua wanita hamil mengalaminya; anggarannya berbeza di antara 20 hingga 60 peratus. Bagi kebanyakan wanita yang mengalaminya, rasa sakit dan kebas itu sedikit sahaja dan bersifat sementara. Ia hilang tidak lama selepas bayi mereka dilahirkan. Namun bagi sesetengah wanita, keadaan ini boleh jadi teruk dan berterusan selama beberapa bulan.


Apakah tanda-tanda lain bagi sindrom terowong karpus?

Simptom-simptom sindrom terowong karpus biasanya lebih teruk pada waktu malam tetapi ia juga boleh menjejaskan aktiviti pada siang hari. Simptom-simptom ini termasuk:
sakit, semut-semut, atau rasa mencucuk atau panas biasanya berpusat di ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan separuh jari manis yang terdekat dengan ibu jari;
sakit pada bahagian tangan, dan kadang-kala pada bahagian bawah lengan;
genggaman yang lemah, terutamanya pada bahagian ibu jari;
jari-jari yang terjejas atau tapak tangan menjadi kebas apabila keadaan ini menjadi lebih teruk.

Bilakah kemungkinan besar saya akan mengalami sindrom terowong karpus?
Simptom-simptom sindrom terowong karpus boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi biasanya ia berlaku dalam trimester kedua atau ketiga, iaitu apabila tangan anda telah mula membengkak.

Apakah penyebab sindrom terowong karpus?

Sindrom terowong karpus berlaku dalam kehamilan apabila terowong karpus di pergelangan tangan (tiub laluan saraf ke bahagian tangan dan jari) membengkak dan menekan saraf di dalamnya.

Apabila kehamilan semakin meningkat, wanita sering mengalami bengkak pada bahagian tangan dan pergelangan tangan, begitu juga di pergelangan kaki dan tapak kaki. Oleh sebab inilah sindrom terowong karpus lebih kerap berlaku dalam trimester kedua dan ketiga, iaitu apabila anda lebih berkemungkinan mengalami bengkak-bengkak.
Tekanan pada saraf oleh terowong karpus yang membengkak itulah yang menyebabkan masalah pada saraf utama yang menuju ke tangan anda dan seterusnya saraf-saraf kecil yang menuju ke ibu jari dan jari-jari yang lain.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk melegakan kesakitan ini?

Jika anda seperti ramai wanita hamil yang lain, anda mungkin mengalami simptom-simptom sindrom terowong karpus ini pada waktu malam. Setiap kali anda rasa sakit atau kebas, tukarlah posisi tidur anda kerana ini dapat melegakan ketidakselesaan yang anda rasa itu.

Tip-tip lain yang boleh anda amalkan termasuk:

elakkan tidur beralaskan tangan anda;
jika anda rasa sakit ketika tidur, cuba kibas-kibaskan tangan anda sehingga kesakitan atau rasa kebas itu berkurangan;
meregangkan pergelangan tangan dan jari dengan kerap sepanjang hari mungkin membantu, namun dalam sesetengah kes ia boleh menyebabkan masalah ini semakin teruk;
jika boleh, elakkan tugas-tugas yang memerlukan pergerakan tangan berulang-ulang kerana ini boleh menyebabkan simptom-simptom anda semakin teruk;
duduk dengan tangan ditinggikan mungkin membantu, contohnya dengan meletakkan tangan di tempat sandar apabila anda duduk menonton tv di sofa.

Tidak banyak kajian dibuat mengenai kaedah rawatan sendiri bagi sindrom terowong karpus, oleh itu anda mungkin perlu mencuba beberapa kaedah bagi mengenal pasti apa yang berkesan bagi. Jika anda ragu-ragu, rujuklah doktor atau ahli fisioterapi yang mungkin dapat memberi anda anduh pergelangan tangan
Sumber info : Www.babycenter.com.my

0 comments:

Catat Ulasan